Jumaat, 18 Julai 2014

#MH17 Satu kecelakaan yang mengejutkan

Setelah selesai demam bola sepak Fifa14, setelah reda kisah #CDM25 dan masih panas membakar jiwa dengan serangan Israel terhadap bumi Gaza yang serba kekurangan dan sebelum embun jantan menitik di cucur atap tiba-tiba kita dikejutkan dengan satu lagi kejadian yang berpunca daripada kerakusan manusia.

Penerbangan #MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang sepatutnya mendarat di KLIA pada jam 6.10 pagi ini telah menjadi mangsa peluru berpandu di Ukraine.

Sedih dan terharu kerana kehilangan MH370 masih terasa dan belum terjawab kini yang baru pula dan mendatangkan kekalutan serta kesedihan seluruh masyarakat dunia.

Menurut media barat, ia berpunca dari tembakan peluru berpandu oleh pihak pemisah Ukraine,   ia berlaku tanpa disedari oleh juruterbang dan mungkin juga penumpang yang lain. Sejarah pernah membuktikan banyak kali pesawat awam ditembak jatuh dari darat dan juga dari pesawat pejuang.

Hasil pemerhatian gambar-gambar yang di muat naik ke laman sosial media maya dan laman web internet menunjukkan pesawat tidak berkecai atau bersepai di udara.

Pesawat kelihatan seperti hilang kuasa dan mengelungsur seperti mendarat cemas dengan sebahagian daripada badan pesawat terkopak dan jatuh sebelum pesawat mendarat dan terbakar di tanah lapang.

Ia menggambarkan seolah-olah juruterbang berusaha menyelamatkan nyawa penumpang sebelum pesawat musnah terbakar.  Apa pun keputusan daripada kotak hitam akan merungkai kesemua persoalan tersebut.

Takziah dan condolences kepada waris mangsa.