Selasa, 14 Julai 2015

Malaysia Melonjak Ke Ranking Ke-6 Indeks Destinasi Paling Menarik Pelabur Asing Global

Malaysia melonjak lima tangga dari ranking ke-11 pada tahun 2014, untuk berada pada kedudukan keenam mengikut Indeks Keberuntungan Asas (BPI) tahun ini.

BPI merupakan kedudukan destinasi paling menarik untuk pelabur asing, dikeluarkan oleh Foreign Policy Magazine.

Antara negara-negara ASEAN, hanya Malaysia dan Singapura berada di kedudukan 10 teratas, manakala Indonesia berada di tangga ke-12, Vietnam (23), Filipina (30) dan Thailand di ranking ke-38.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata kedudukan yang merangkumi 110 buah negara di enam benua, mengesahkan semula bahawa Malaysia merupakan pusat keuntungan yang menarik dalam rantau ini untuk para pelabur.

“Indeks itu memberi petunjuk yang jelas bahawa Malaysia menyediakan persekitaran perniagaan yang mesra, menjadikannya tempat menarik bagi tujuan pelaburan.

“Ranking ini bukan hanya berdasarkan keadaan sebelum ini namun ia juga berasaskan kepada jangkaan tentang keadaan semasa bagi tempoh lima tahun akan datang,” menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azman Mahmud, berkata pengesahan berkenaan melenyapkan salah anggapan yang berlarutan serta membuktikan asas ekonomi negara yang semakin meningkat serta dasar pragmatik, proaktif dan berhemat kerajaan untuk menyusun semula dan mempelbagaikan ekonomi.

“Kedudukan itu mencerminkan kemajuan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan awam dan kecekapan jentera kerajaan keseluruhannya,” kata beliau.

BPI menggunakan pendekatan holistik berasaskan lapan faktor yang akan mempengaruhi kejayaan besar dalam pelaburan asing.

Faktor tersebut meliputi pertumbuhan ekonomi, kestabilan kewangan, jaminan fizikal, rasuah, pengambil alihan oleh kerajaan, eksploitasi oleh rakan kongsi tempatan, kawalan modal dan kadar tukaran.

Ia turut menggabungkan perubahan yang dibuat Bank Dunia terhadap penilaian Keluaran Dalam Negara Kasar seperti kaedah yang disemak semula untuk membandingkan taraf hidup di kesemua negara yang berkenaan.