Sabtu, 30 Januari 2016

Kenyataan oleh Peguam Negara 30 Januari 2016

1. Saya sedia maklum mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara Switzerland, dan beberapa kenyataan lanjut yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar di Amerika Syarikat berhubung penyiasatan dua bekas pegawai 1MDB.

2. Saya dan pihak berkuasa Malaysia ingin menyiasat kesemua fakta mengenai 1MDB yang telah  membawa kepada dakwaan terbaru terhadap syarikat berkenaan. Oleh itu, beberapa siasatan dijalankan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Audit Negara.

3. Pihak berkuasa Malaysia, termasuk Jabatan Peguam Negara komited untuk bekerjasama dengan semua badan penguatkuasaan undang-undang asing melalui konvensyen antarabangsa dan perjanjian yang disepakati. Turut mengikut langkah tersebut ialah syarikat 1MDB sendiri yang telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan badan-badan berkenaan.

3. Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara Switzerland, pihak kami bercadang untuk mengambil semua langkah yang mungkin untuk mengikuti dan bekerjasama dengan pihak di Switzerland, dan kami berharap untuk memperolehi bukti-bukti dan hasil dari siasatan  yang dilakukan melalui saluran yang betul. Bukti-bukti ini akan dikaji semula disamping bukti dari pihak-pihak berkuasa yang lain termasuk pihak kami sendiri untuk menentukan tindakan yang tepat.

5. Berbeza dengan laporan media baru-baru ini, siasatan terhadap sumbangan yang diberikan kepada Perdana Menteri adalah berbeza sama sekali dengan sumbangan yang diterima oleh 1MDB. Jabatan Peguam Negara mengkaji semula laporan yang telah disediakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan, seperti yang telah diumumkan, tiada bukti sebarang jenayah yang berlaku dan atas sebab berkenaan, kes tersebut diarahkan untuk ditutup.

6. Sebarang percubaan oleh pihak media untuk menghubungkaitkan dua  set siasatan terkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan prejudis.

TAN SRI MOHAMED APANDI ALI
PEGUAM NEGARA MALAYSIA