Selasa, 9 Februari 2016

RAFIZI TIDAK PERLU DILAYAN ISTIMEWA

KENYATAAN MEDIA

DATO' SRI AZALINA OTHMAN SAID

YB Pandan, Rafizi Ramli tidak mempunyai sebarang imuniti atau keistimewaan dalam konteks undang-undang. Apatah lagi kes yang melibatkan beliau dibawah Akta bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), sehingga kini masih belum selesai.

2. Tindakan beliau yang mengkritik Peguam Negara dan Pindaan Akta Rahsia Rasmi 1972 membuka pelbagai persoalan mengenainya dan menunjukkan seolah-olah beliau takut dan terdesak sehingga beliau mahu melancarkan kempen di media sosial. Beliau adalah seorang Ahli Parlimen dan beliau boleh membahaskan Pindaan ini sekiranya di bawa ke Parlimen nanti.

3. Beliau juga dengan sengaja menyatakan bahawa pindaan ini adalah penindasan kepada wartawan dan kebebasan media supaya beliau mendapat sokongan daripada pihak media berhubung dengan perkara ini. Saya berharap pihak media tidak terjerat dengan permainan beliau yang sering kali menggunakan media khususnya media alternatif sebagai kuda tunggangan untuk mencari publisiti murahan.

4.  Kes yang tertangguh itu telah menyebabkan pemimpin kanan PKR tersebut semakin angkuh dengan berbagai tohmahan yang lain. Tindakan beliau mendapatkan pelbagai maklumat peribadi, khususnya daripada institusi kewangan, adalah melanggar undang-undang. Beliau sering kali dilihat mencari publisiti politik dengan membuat pelbagai pendedahan yang mengelirukan rakyat itu juga harus di siasat mengenai punca dah kesahihan maklumat-maklumat yang diperolehinya.

5. Ketika perbahasan di Parlimen, beliau juga menyatakan bahawa beliau mendapat maklumat yang bocor berhubung pembelian aset kerajaan. Keadaan ini jelas bahawa beliau sendiri telah mengakui secara tidak langsung dan adalah wajar untuk disiasat dan diambil tindakan dengan kadar segera.

6. Kes BAFIA yang melibatkan YB Pandan telah berlarutan hampir empat tahun sepatutnya kes itu perlu diputuskan segera kerana perlu menjadi penanda aras kepada sektor kewangan negara. Isu ini bukan hanya melibatkan kepentingan individu tetapi boleh mengugat ekonomi dan keselamatan negara. Sekiranya kes tersebut masih ditangguh pihak luar akan beranggapan undang-undang melibatkan perbankan negara adalah longgar.

Sejak kebelakangan ini terlalu banyak kebocoran maklumat berlaku sehinggakan mengancam keselamatan negara. Pendedahan kepada umum bukan satu tindakan yang baik sebaliknya mereka yang mempunyai maklumat perlu membawa isu tersebut kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut. Rakyat perlu melihat isu ini secara matang dan tidak mudah terjerat dengan agenda pembangkang.

DATO' SRI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

8 FEBRUARI 2016