Rabu, 25 Mei 2016

Siasatan premis tidak halal

IPOH - Kerajaan negeri sedang melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan sebuah premis makanan di Kuala Kangsar menggunakan sup babi dalam kuah mi kari yang dijual.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, ketika ini siasatan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai sijil halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Serbuan dibuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak dan Jakim sejak dua hari lalu.

“Hasil serbuan kita dapati kedai itu tidak mempunyai sijil halal dan pengusaha premis berkenaan merupakan orang bukan Islam,” katanya.

Menurut beliau, premis berkenaan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan sekiranya terbukti sup babi digunakan sebagai ramuan dalam kuah mi kari yang dijual.

“Bukan sahaja berkaitan sup babi tetapi ada tiga pekerja Melayu yang bekerja di situ dan ia nampak nak mengaburi mata orang ramai yang datang ke premis tersebut,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang Islam yang berkunjung ke Kuala Kangsar sempena PRK 18 Jun depan, berwaspada dan membeli makanan di premis yang mempunyai logo halal.

“Kalau boleh carilah premis makanan yang diusahakan orang Islam. Kalau rasa was-was dengan kedai makanan tersebut, tinggalkan, cari yang lain dan terbukti halal dan bersih,” katanya.

Sebelum ini, premis mi kari yang beroperasi selama 30 tahun itu diserbu KPDNKK Kuala Kangsar dan Jakim selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.