Rabu, 12 Oktober 2016

Majlis Raja-Raja berkuasa pecat PM? Ini penjelasan pakar



Seorang pengamal undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin tampil menjelaskan mengenai tanggapan salah yang mengatakan Majlis Raja-Raja boleh mengambil tindakan untuk memecat seorang perdana menteri.

Beliau menegaskan perdana menteri tidak boleh dipecat oleh Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi perdana menteri yang dipilih rakyat menerusi pilihan raya kerana tiada peruntukan khusus mengatakan langkah sedemikian boleh diambil.

"Tiada satu peruntukkan secara khusus yang menyatakan Agong boleh memecat PM… jadi saya rasa terpanggil untuk memperbetulkan sedikit persepsi masyarakat tentang peranan Majlis Raja-Raja.

"Jangan anggap bahawa MRR merupakan satu institusi yang diberikan undang-undang untuk buat apa sahaja yang disarankan, tidak sedemikian, ia ada tatacara dan prosuder yang perlu dipatuhi," katanya dipetik dalam akhbar Sinar Harian.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-242 yang berlangsung minggu ini pastinya menjadi tumpuan sama ada ia akan turut membincangkan tuntutan daripada Deklarasi Mahathir yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau tidak.

Usaha yang dilakukan sudah pun dimaklumkan oleh Dr Mahathir dalam surat dihantar kepada semua raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri, 4 Oktober lalu.

Dr Mahathir mendakwa, Majlis Raja-Raja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menerangkan lebih lanjut, Salehudin berkata dalam Perlembagaan juga tidak dinyatakan secara mutlak Agong atau raja-raja mempunyai kuasa mutlak.

"Dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan Agong atau raja-raja mempunyai kuasa mutlak oleh kerana ianya tertakluk kepada peruntukan-peruntukan yang menggariskan kuasa yang dijalankan secara budi bicara dan kuasa yang dijalankan mengikut nasihat.

"Walau bagaimanapun di dalam soal perlantikan seseorang perdana menteri, ada peruntukan yang khusus yang memberikan kuasa budi bicara kepada Agong.

"Ini sepertimana peruntukan Perkara 43 Fasal 2 Perlembagaan yang memberi kuasa kepada Agong untuk melantik seorang perdana menteri tetapi ianya tertakluk kepada pra syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.

"Antara pra syarat penting adalah Agong perlu memastikan seorang calon yang hendak dilantik sebagai perdana menteri perlulah seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pandangan baginda mendapat sokongan majoriti daripada ahli-ahli dalam Dewan Rakyat itu sendiri. Itu pra syarat utama," ujarnya.

Dalam situasi ini, Najib masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Ini bermakna sekiranya terdapat pra syarat yang perlu dipenuhi sebelum Agong boleh melaksanakan kuasa baginda bagi melantik seorang perdana menteri maka bermakna jika sekiranya perdana menteri hendak dipecat atau hilang kelayakan, ianya perlu juga memenuhi syarat bahawa beliau telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Ini bermakna Agong tidak diberi kuasa sewenang-wenangnya untuk memecat seorang perdana menteri," katanya.

_"BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT"._

  #RespectMyPM  #RespectMyTPM



Sent from Samsung tablet.