Jumaat, 17 November 2017

KDNK catat pertumbuhan 6.2 %.

17 November 2017

Oleh Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

1. Jabatan Perangkaan Malaysia telah menerbitkan laporan prestasi ekonomi Suku Ke-3 2017. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar mencatatkan pertumbuhan 6.2 peratus menjadikan pertumbuhan KDNK bagi 9 bulan yang pertama 2017 kepada 5.9 peratus. Pertumbuhan ini merupakan pertumbuhan suku tahunan terpantas sejak suku ke-2 2014.

2. Kadar pertumbuhan yang lebih kukuh ini dijana oleh permintaan domestik yang kekal memberangsangkan dan sektor luaran yang semakin pulih. Aktiviti ekonomi yang meningkat di dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian adalah penggerak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi pada suku ke-3.

3. Tidak mengejutkan apabila penggunaan swasta (pertumbuhan 7.2 peratus) mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 2015. Ini menunjukkan bahawa keyakinan pengguna semakin meningkat dan rakyat Malaysia lebih selesa untuk berbelanja dengan pendapatan yang meningkat dan jangkaan peningkatan yang lebih tinggi di masa hadapan.

4. Saya berasa gembira dengan pertumbuhan pembentukan modal tetap kasar (PMTK) atau pelaburan yang kekal stabil pada 6.7 peratus dengan pelaburan sektor swasta yang terus berkembang dan pelaburan sektor kerajaan yang kembali meningkat dalam suku tahunan ini. Perbelanjaan pembangunan berjumlah RM46 billion yang diumumkan kerajaan di dalam Bajet 2018 baru-baru ini dan juga projek-projek infrastruktur mega yang akan mula dibina dalam masa terdekat akan terus menyokong ekonomi dengan penciptaan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

5. Pertumbuhan ekonomi suku tahunan ini juga merupakan antara yang terpantas di rantau Asia iaitu lebih pantas daripada Singapura, Indonesia, Korea Selatan dan Taiwan. Ia juga lebih pantas daripada negara maju seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan United Kingdom.

6. Di dalam ucapan beliau semasa pelancaran Expo Negaraku 2017 baru-baru ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Abdul Razak sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia berada di atas landasan yang betul. Sememangnya Malaysia berada di landasan yang betul seperti mana telah disahkan oleh agensi-agensi pembangunan dunia seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB) yang telah menyemak naik semula pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih daripada 2 kali tahun ini.

7. Prestasi ekonomi yang memberangsangkan tidak bermakna sekiranya ia tidak memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. Pertumbuhan ekonomi yang kukuh akan mencipta lebih banyak pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan menambahbaik kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.

8. Kerajaan dibawah kepimpinan Perdana Menteri akan terus bekerja demi membawa pembangunan dan pertumbuhan ekonomi kepada rakyat Malaysia. Seperti yang diujarkan oleh beliau, “Masa depan yang kami perkatakan bukanlah janji kosong mahupun sekadar fantasi kerana jika kami tidak boleh menunaikan janji, kami sudah tentu tidak akan berani membuat janji kepada rakyat.”